.

.

August 09, 2012

"PERISAI MALU"

"Malu itu separuh daripada iman. Malu yang dimaksudkan ialah malu kepada Allah, malu melakukan maksiat dan malu apabila meninggalkan ketaatan."
        Malu merupakan landasan akhlak mulia dan sentiasa berpaksikan kebaikan. Sesiapa yang tinggi sifat malu, maka lebih banyak kebaikan yang diperolehnya. Manakala sesiapa yang sikit perasaan malu, semakin sedikit kebaikan untuknya. 

        Daripada Abu Mas'ud 'Uqbah bin 'Amru al-Ansari al-Badri r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang ebramksud: "Sesungguhnya, ungkapan yang telah dikenali orang daripada ucapan nabi-nabi terdahulu ialah: "Jika engkau tidak malu, maka buatlah apa-apa yang kau sukai." (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini sebagai dalil menunjukkan malu sebagai perisai bagi seseorang daripada tindakan yang boleh memudaratkan dirinya terhadap agama serta merosakkan akhlah dan maruahnya. Malu dapat menghalang seseorang terjerumus daripada kemaksiatan. 

           Seseorang yang tiada sifat malu, tidak akan menghiraukan sebarang keburukan atas perlakuannya. Apabila sifat malu sudah tidak ada dalam diri, maka berlakulah pelbagai kemungkaran seperti tidak menghormati ibu bapa, pelajar tidak menghormati gurunya, tempat maksiat dikomersialkan untuk dikunjungi, lelaki dan perempuan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai, tidak beradab di atas jalan raya, jawatan menjadi rebutan dan pemimpin mengambil kesempatan dengan jawatannya dan pelbagai lagi.



Usah Malu Membela Kebenaran

 Jalan pintas yang kita ambil untuk tidak bertindak atas kemungkaran yang dilihat adalah dengan tidak menegur, menghalang apalagi mencegahnya. (Adab Amar Makruf dan Nahi Mungkar) Kita mengambil sikap membuta tuli yang kononnya malu untuk mencampuri urusan orang lain. Daripada Abi Sai'd al-Khudri r.a., Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan lidah. Apabila tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan hati dan itulah selemah-lemah keimanan." (Riwayat al-Bukhari)

Jangan Malu Menuntut Ilmu 

Pepatah Melayu ada menyebut: "Malu bertanya sesat jalan, malu kayuh perahu hanyut." Dalam usaha menuntut ilmu sama ada ilmu duniawi mahupun ukhrawi, perasaan malu perlu dikikis habis-habisan. Ini kerana ilmu yang difahami itu boleh dimanfaatkan dan disebarkan. Sifat wanita Ansar sepatutnya ada dalam diri seseorang yang menuntut ilmu. Sayiditina Aisyah r.ha. memuji: "Sebaik-baik wanita ialah wanita Ansar. Meeka tidak menghalangi diri mereka untuk tafaqquh (mendalami pemahaman) dalam agama." (Riwayat Muslim, Abd Daud dan Ibn Majah) Kita mesti bersikap proaktif dalam menuntut ilmu. Lihat sahaja dalam sesebua majlis ilmu atau di bilik kuliah, tiada pertanyaan dikemukakan, kononnya malu dikatakan soalan 'bodoh'. Ramai juga yang malu menuntut ilmu dengan alasan sudah tua serta otak berkarat atau lembab. Maka, mereka akan berkekalan menjadi orang yang jahil tanpa ilmu. Apabila tiada ilmu, ibadat yang dilakukan hanya sekadar ikut-ikut orang.


Malu Melakukan Maksiat 


Orang beriman wajib mempunyai sifat malu kerana ia pendorong kuat untuk berkelakuan baik dan menjauhi tingkah laku yang buruk dan keji. Perbuatan dan tindakan yang dilakukan akan menjadi lebih baik seperti berbudi bahasa, lemah lembut dalam bertuturan, tidak memperlekeh orang lain, tiada mengumpat dan sebagainya. Tindakannya pula tidak terburu-buru menurut hawa nafsu, adil amanah, suka membantu orang lain dan sebagainya. Kesimpulannya, sifat malu perlu ada pada setiap orang yang beriman kerana orang yang malu kepada Allah s.w.t akan menjaga anggota mata, telinga, mulut dan anggota-anggota lain daripada melakukan perkaya yang ditegah oleh Allah s.w.t. Perasaan malu juga akan membolehkan seseorang menjaga diri dan kemaluannya daripada melakukan zina. Inilah kebahagiaan apabila seseorang itu memiliki rasa malu kepada Allah. 
HJ. ZAINUDDIN ALI